Barangan Kawalan

Skim Kawalan Harga Barang-Barang Pengguna Tahun 2005/2006.

Mulai 15 Oktober lalu sehingga 29 Januari depan sebanyak 23 barang telah diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga Barang-Barang Pengguna Tahun 2005/2006 sempena sambutan Deepavali, Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baru China. Dalam tempoh hampir lima bulan itu,  harga runcit maksimum barang kawalan berkenaan diguna pakai di semua 138 daerah di seluruh negara. Barang itu termasuk ayam ‘standard’, ayam ‘super’, daging lembu tempatan, daging kerbau import, daging kambing tempatan, ikan bawal putih, udang putih besar, telur ayam Gred A dan telur ayam Gred B. Turut disenaraikan, kacang panjang, kubis bulat, cili merah, kelapa parut, bawang merah kecil, ubi kentang dan tomato.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal yakin skim itu dapat memberi manfaat kepada pengguna kerana kebanyakan barang ditetapkan pada harga sama dengan pasaran semasa, malah lebih murah. Dilihat pada senarai harga barang yang dikeluarkan, 921 harga, atau 29 peratus daripada 3174 harga yang ditetapkan bagi 23 barangan kawalan seperti diumumkan itu, dilihat mencatat kenaikan berbanding harga pasaran. Selain itu, 626 harga, atau 19.7 peratus daripada 3174 harga yang ditetapkan diletakkan pada harga runcit lebih rendah daripada pasaran semasa; manakala 1627 harga lain adalah menyamai harga jualan semasa. Shafie berkata langkah menetapkan harga barang lebih tinggi daripada harga semasa diambil bagi menyeragamkan harga barang di semua daerah. Malah harga bagi semua gred telur ayam diseragamkan iaitu telur gred A berharga 30 sen sebiji, gred B 29 sen dan Gred C 28 sen serta RM 4 bagi sekilogram kubis panjang China berkuatkuasa pada tempoh sama.

Shafie berkata, mekanisme yang digunakan bagi menetapkan harga maksimum runcit adalah berdasarkan pemantauan harga dua minggu sekali di semua daerah mulai 1 Mei lalu sehingga 31 Ogos. [”Kita juga membuat pemantauan harga harian sepanjang September lalu selain mendapat pandangan agensi kerajaan serta sesi perbincangan dengan pengimpot,pengeluar, pembekal, pemborong, persatuan peniaga dan pengguna,” katanya].

Penetapan harga runcit maksimum barangan itu dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Kawalan Harga 1946. Mengikut Seksyen 6 Akta yang sama, tindakan tegas boleh diambil jika terdapat peniaga yang menjual melebihi harga maksimum runcit ditetapkan, berniaga barang harga terkawal tanpa lesen dan gagal meletakkan tanda harga menggunakan papan warna merah jambu. Bagi orang perseorangan, mereka boleh didenda sehingga RM 15000 atau dua tahun penjara. Kesalahan ini juga boleh dikenakan kompaun sehingga RM 7500. Syarikat pula boleh dikenakan denda maksimum RM25000.

Mengikut Shafie, kementeriannya akan memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorokkan bekalan untuk menyelewengkan harga. Para pembekal dan agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA), Jabatan Perkhidmatan Haiwan memberi jaminan bekalan barang-barang perlu mencukupi bagi menampung keperluan semasa musim perayaan, katanya.
Di dalam Islam, segala yang berkaitan barang atau perkhidmatan mesti dijelaskan  oleh peniaga tanpa menyembunyikan kecacatan, mutu dan harga berpatutan. Akhlak yang amat dituntut kepada peniaga ialah amanah dan jujur. Seorang peniaga perlu amanah dalam menyampaikan semua maklumat tentang produknya kepada pelanggan. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud:
“Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir, selagi mereka belum terpisah. Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual belikan, mereka akan mendapat berkat dalam jual beli mereka. Sekiranya mereka menipu dan merahsiakan  mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijual belikan akan terhapus keberkatan.”(Hadis riwayat Muslim).

Sebenarnya di antara peniaga dengan pembeli saling memerlukan, tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga. Hubungan ini mewujudkan satu ikatan menjaga kepentingan pihak yang satu lagi, selain untuk kepentingan sendiri. Ikatan ini juga disebut kontrak sosial atau satu perjanjian tidak bertulis yang wujud di antara kedua-dua pihak. Setiap pihak yang mengikat ‘perjanjian’ ini mesti mematuhinya. Peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga pada musim perayaan sebenarnya telah mengkhianati perjanjian tersebut dan hukum Allah.

Islam telah menetapkan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh peniaga dan pembeli untuk mengelak berlakunya penindasan. Syarat paling penting dalam urus niaga ialah suka sama suka atas tujuan saling mendapat kebaikannya. Ini dapat dilihat di dalam firman Allah, Surah an-Nisa, Ayat 29. Islam amat mementingkan adab dalam perniagaan dan peniaga yang jujur akan dibalas syurga, seperti sabda Rasulullah bermaksud:
“Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid”(Hadis riwayat Tarmizi dan Hakim).

Ini adalah kali pertama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP)  menguatkuasakan kawalan harga pada musim perayaan dalam tempoh yang begitu panjang. Sebelum ini, ia hanya untuk tempoh satu atau dua bulan. Langkah kawalan harga sehingga awal tahun depan itu baik bagi mengelakkan peniaga, termasuk pemborong daripada mengaut keuntungan berlebihan, terutama  pada musim perayaan. Namun, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman berkata, jumlah 23 barang masih tidak mencukupi tetapi menerima baik usaha kerajaan dalam menyelaraskan harga barang di 138 daerah seluruh negara.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa kurang yakin dengan rancangan penetapan kawalan harga barangan jika penguatkuasaan tidak dilakukan dengan serius. Skim kawalan harga ini tidak akan berkesan jika tidak ada tindakan susulan bagi memastikan peniaga mematuhi arahan kerajaan dan tidak meletakkan harga pada kadar yang tinggi. Oleh itu diharapkan sebanyak 14000 Sukarelawan Pemantau Harga(SPH) dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dengan memantau dan membuat laporan kepada KPDNHEP jika terdapat peniaga yang degil yang menaikkan harga atau tidak meletakkan tanda harga.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga akan memantau 23 barang yang diletakkan mengikut skim Kawalan Harga Barang-Barang Pengguna Tahun 2005/2006, supaya peniaga mengikut arahan kerajaan melalui penetapan harga yang disyorkan. Presiden Fomca, N Marimuthu berkata, Fomca akan mengarahkan pasukan pemantauan mereka melakukan pemerhatian dan membuat aduan kepada kerajaan jika ada pihak gagal mengikut perintah itu.

Perlu ditekankan disini bahawa dalam sistem ekonomi Islam, kerajaan berhak campur tangan terhadap pasaran akibat penyelewengan dan penipuan yang mencetuskan inflasi atau kekurangan keperluan asas. Kerajaan diberi amanah untuk memastikan batas-batas harga yang berpatutan atau adil, dan melarang aktiviti ekonomi yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Hal ini dapat dilihat dari awal kerajaan Islam, yang disebut oleh Dr Abdul Qadir Husaini(1966) di dalam bukunya, Arab Administration. Khalifah Ali bin Abi Thalib telah pergi sendiri ke pasar Kufah untuk mengawal timbangan yang digunakan dan beliau benar-benar mempastikan bahawa tidak ada seorang pun yang berasa ditipu.

Pengguna juga ada peranannya dalam hal ini. Mungkin terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang berikutan kenaikan harga minyak walaupun tiada kesan ketara ke atas produk mereka. Selain kawalan harga yang ditetapkan, penipuan boleh juga berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk dari segi timbangan dan kualiti barang. Peniaga atau peruncit berkenaan mungkin masih mengikut harga ditetapkan, tetapi mempunyai kualiti kurang baik. Justeru pengguna perlu memainkan peranan dan perlu tahu dan bijak menggunakan hak mereka jika ada peniaga yang cuba menipu. Orang ramai patut menjadi ‘mata dan telinga’ KPDNHEP dengan membuat laporan terhadap peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan skim berkenaan.

Dalam hal ini Islam telah menetapkan kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar tanpa pilih kasih . Pembeli yang ditindas seharusnya berhak mendapat keadilan melalui satu sistem yang bebas dan berwibawa

Khasiat Pemakanan
 
Pemakanan Khasiat Bantu Penuaan Sihat
MASALAH kesihatan yang sentiasa dikaitkan dengan warga tua dapat dicegah atau dilambatkan bukan saja melalui kaedah perubatan malah faktor sosial, ekonomi dan persekitaran.

Mengikut perangkaan terbaru Jabatan Statistik Negara, ada 1.4 juta warga tua dengan purata jangka hayat 72.6 tahun, iaitu 70.2 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi wanita.

Mereka yang berumur lebih 60 tahun mewakili 6.3 peratus daripada 22.2 juta penduduk dan jumlah warga tua dijangka meningkat 7.2 peratus pada 2005 dan 11.3 peratus pada 2020 kesan kejayaan bidang perubatan negara yang semakin moden.

Berikutan jumlahnya yang semakin meningkat, timbul pula masalah kesihatan yang kebanyakan berhadapan dengan penyakit berbahaya seperti jantung kardiovaskular, darah tinggi, kencing manis dan barah.

Lazimnya penyakit itu hanya timbul apabila seseorang mula mencecah usia 40 tahun ke atas dan mula menyedarinya apabila mengalami beberapa gejala awal. Bagaimanapun, lazimnya kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan berada pada tahap bahaya.

Malah warga tua yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital, belum tentu mendapat perhatian secukupnya terutama daripada pakar khasiat pemakanan dan dietetik yang dipertanggungjawabkan untuk memantau jumlah khasiat yang diambil oleh pesakit.

Umpamanya, pesakit kardiovaskular, darah tinggi atau kencing manis, pakar pemakanan akan memberi khidmat nasihat mengenai jenis makanan yang sesuai dan menyenaraikan makanan yang perlu dielak supaya tidak memudaratkan kesihatan.

Khasiat pemakanan ini penting dalam memastikan tahap kesihatan pesakit terjaga dan jika tidak dapat pulih sekalipun sekurang-kurangnya mereka dapat memanjangkan tempoh hayat mereka.

Sehubungan itu, isu yang membincangkan tajuk berkaitan khasiat pemakanan bagi warga tua turut dibincangkan dalam Kongres Asia Dietetik Ketiga yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Kongres tiga hari itu yang bertemakan Keharmonian Dietetik Asia, dihadiri lebih 600 perwakilan termasuk penyertaan dari negara Asia, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran dan Chile.

Kongres itu bertujuan menukar pandangan dan penemuan terkini perwakilan mengenai khasiat pemakanan dan kesannya terhadap pembangunan kesihatan manusia.

Isu mengenai pemberian makanan berkhasiat kepada warga tua turut diberi perhatian pada kongres itu dan salah seorang pembentang dari Hong Kong, Pengarah Dietetik, Hospital Haven of Hope, Susan Lui mengenengahkan program pemberian makanan berkhasiat kepada warga tua di pusat geriatrik di hospital berkenaan.

Program ini diwujudkan bermatlamat menggalakkan penuaan sihat dan menghalang penyakit berkaitan usia.

"Pemakanan penting daripada peringkat bayi hinggalah meningkat tua kerana banyak penyakit kronik berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak teratur ketika muda. Bagaimanapun, pemakanan seimbang masih boleh membantu mengurangkan risiko ataupun gejala penyakit. Selain itu, pemakanan kurang sihat melambatkan penyakit daripada sembuh kerana apabila usia semakin tua, beberapa perubahan berlaku pada komposisi tubuh badan.

"Badan akan hilang isi padu, kurang air secara keseluruhan, tinggi kandungan lemak, hilang kebolehan menghidu dan merasa, penurunan fungsi gastro-intestine, hilang pendengaran dan penglihatan, hilang jisim tulang, jantung dan paru-paru kurang aktif, begitu juga hempedu dan ginjal," katanya.

Tambah Lui, di pusat rawatan geriatrik itu, menu harian mereka ditentukan oleh pakar dietetik masing-masing. Selain memantau kadar pengambilan makanan berkhasiat, pesakit juga dilatih menyediakan sendiri makanan.

Amalan pemakanan mengikut menu pakar dietetik perlu diteruskan kerana selain memakan ubat, pemilihan makanan yang berkhasiat juga, menyumbang kepada pemulihan dan pencegahan penyakit.

Pembentang dari Australia, Pengarah Jabatan Khasiat dan Perkhidmatan Makanan, Wilayah Perkhidmatan Kesihatan Redcliffe Caboolture, Queensland Merrily Banks, pula berkongsi penyelidikannya di pusat geriatrik di sana menunjukkan pemberian makanan yang betul berjaya mengurangkan risiko merebaknya penyakit malah dapat memulihkan.

Tambah Banks, amalan memakan soya dan beberapa sayur-sayuran lain dapat mencegah barah dan risiko mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular turut berkurangan.

"Sehubungan itu masyarakat perlu menyedari betapa penting pemakanan sihat dalam diet seharian. Pemilihan makanan yang kaya khasiat pemakanan perlu diambil dengan mengurangkan kandungan kalori tetapi tinggi nilai khasiatnya. Pemberian air juga penting kerana kebanyakan pesakit warga tua mendapat rawatan mengalami masalah kekurangan isi padu air dalam badan.

"Melalui kajian itu juga mendapati, apabila tua, selera makan menurun kerana deria bau tidak berfungsi. Pencernaan makanan juga kurang baik kerana pengeluaran jus penghadam makanan menurun. Pendengaran dan penglihatan yang semakin kabur pula boleh membawa kemurungan dan malu bergaul dengan orang ramai," katanya.

Presiden Persatuan Dietetik, Jabatan Dietetik Hospital Dr Cipto Mangunkusumo, Indonesia, Murni Prakoso dalam pembentangan seterusnya, menjelaskan program warga tua yang sedia ada bertujuan memastikan kebajikan dan keperluan mereka mendapat perhatian.

Berikutan peningkatan peratusan penduduk warga tua di Indonesia, satu program khusus diwujudkan bagi menempatkan mereka di pusat yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan secara menyeluruh dan pemantauan pemberian makanan.

Kajian yang dijalankannya pada 1998 hingga 2000 mendapati tidak banyak pemeriksaan kesihatan diadakan khusus untuk warga tua.

"Berat dan ketinggian mereka tidak pernah diambil tahu oleh pegawai kesihatan di sana dan hasil kajian itu menunjukkan majoriti warga tua mengalami berat badan yang tidak seimbang dengan usia dan ketinggian. Boleh dikatakan hampir semuanya tidak mendapat khasiat secukupnya.

"Akibat kurang mendapat khasiat secukupnya untuk keperluan tubuh, banyak penyakit berkaitan usia tua timbul seperti osteoporosis, barah, kencing manis, jantung dan sebagainya. Apabila tidak mendapat khasiat yang secukupnya, mereka tidak mempunyai sistem daya tahan penyakit yang kukuh. Akibatnya, mereka mudah mendapat penyakit dan lazimnya berada pada peringkat berbahaya," katanya.

Berdasarkan pemerhatian itu, satu program kesihatan diperkenalkan dengan mengenal pasti senarai pemakanan berkhasiat khusus untuk diberikan kepada warga tua dan tidak setakat itu saja, perkhidmatan kaunseling turut disediakan.

Ini berikutan kebanyakan warga tua mengalami kehilangan selera makan kerana berasa sunyi dan tertekan akibat perubahan hormon tubuh.

Pelabelan Makanan
 
 
Pelabelan pemakanan

Apa yang dimaksudkan dengan pelabelan pemakanan ?
 
Pelabelan pemakanan adalah keterangan mengenai tahap atau kandungan nutrien yang terdapat pada label makanan. Ianya merupakan akuan yang benar mengenai kualiti pemakanan bahan makanan tersebut.

Apakah tujuan atau faedah pelabelan pemakanan kepada pengguna?
 
Pelabelan pemakanan bertujuan untuk menyediakan satu cara penyampaian maklumat mengenai kandungan nutrien (zat makanan) pada label setiap makanan yang dikeluarkan. Dengan ini, ianya dapat membantu pengguna membuat pemilihan makanan yang bijak. Ia merupakan satu cara untuk memberitahu pengguna mengenai kualiti pemakanan sesuatu bahan makanan. Selain itu, pelabelan pemakanan turut menyokong aktiviti pendidikan pemakanan kerana ia menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang kukuh dalam pemilihan makanan dan penyediaan hidangan. 

Adakah pelabelan pemakanan turut memberi faedah kepada industri makanan?
 
Ya, pelabelan pemakanan memainkan peranan yang sama penting dan berfaedah kepada industri makanan. Pelabelan pemakanan membolehkan pengeluar makanan dan peruncit untuk mengutamakan kandungan zat makanan dalam setiap produk yang dikeluarkan kepada pengguna secara faktual. Ini akan menggalakkan pengeluar makanan untuk menjadi lebih prihatin terhadap kepentingan mengeluarkan makanan yang berkhasiat. 

Tidakkah pelabelan pemakanan telah terkandung dalam peraturan makanan sekarang? Terdapat beberapa produk dalam pasaran yang mempunyai pelabelan pemakanan.
 
Di bawah peraturan makanan sekarang yang dikenali sebagai Peraturan Makanan Malaysian 1985, ianya tidak mewajibkan pelabelan pemakanan pada label makanan. Peraturan yang sedi ada hanya mewajibkan makanan yang tertentu sahaja untuk mengadakan pelabelan pemakanan. Makanan itu adalah "makanan yang bertujuan khusus" dan termasuk susu formula bayi dan makanan berasaskan bijirin untuk bayi dan kanak-kanak. Selain itu, makanan yang diperkaya atau ditambahkan dengan vitamin atau mineral tertentu perlu ada akuan mengenai jumlah nutrien pada labelnya.

Bagi makanan di pasaran yang mempunyai pelabelan pemakanan, ia diletakkan secara sukarela oleh pengeluar. Walau bagaimanapun, tidak terdapat sebarang persamaan dari segi format untuk memperakukan kandungan nutrien dalam makanan. Kadang-kala terdapat kesilapan pada pelabelan nutrien itu. 


Bagaimana dengan undang-undang makanan di negara lain? Adakah pelabelan pemakanan ini diwajibkan di negara lain?
 
Di kebanyakkan negara, pelabelan pemakanan tidaklah mandatori (diwajibkan). Banyak diantara negara ini sedang mengkaji keperluannya. Di Singapura sebagai contohnya, garis panduan untuk pelabelan pemakanan telahpun dicadangkan tetapi sehingga kini penggunaan pelabelan pemakanan masih dilakukan secara sukarela. Begitu juga di Thailand, pelabelan pemakanan adalah tidak diwajibkan, melainkan jika tuntutan pemakanan dibuat mengenai bahan makanan itu. 

Di Amerika Syarikat, pelabelan pemakanan adalah diwajibkan bagi hampir semua makanan di pasaran yang diperoses. 


Adakah cadangan peraturan oleh Kementerian Kesihatan ini sama dengan garis panduan antarabangsa?
 
Ya, cadangan peraturan yang dikeluarkan ini adalah mengikut garis panduan Codex Alimentarius, satu organisasi usahasama Pertubuhan Makanan dan Pertanian dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FAO/WHO). Walau bagaimanapun, terdapat juga perbezaan pada beberapa perkara yang terpaksa dibuat bagi memenuhi keperluan dan keadaan kita di sini. 

Apakah aspek utama yang terdapat dalam cadangan peraturan makanan baru ini yang berkait dengan pelabelan pemakanan?
 
Terdapat dua aspek utama dalam peraturan yang dicadangkan: (a) cadangan untuk mewajibkan (mandatori) pelabelan pemakanan pada beberapa jenis makanan; (b) menetapkan keperluan dan syarat bagi membuat tuntutan pemakanan bagi bahan makanan. 

Di bawah undang-undang yang baru dicadangkan, apakah makanan yang perlu ada pelabelan pemakanan ?
 
Bahan makanan seperti yang ditetapkan dalam peraturan 64 hingga75, 84 hingga 87, 89 hingga 99. 113, 149, 151, 161, 220, 233 hingga 242, 344, 345 dan 348 hingga 358 Peraturan Makanan Malaysia 1985.

Ini termasuk makanan bijirin yang diproses; pelbagai jenis roti; pelbagai jenis susu dan susu tepung, termasuk susu pekat manis, susu sejat dan susu yang dikultur; daging dalam tin; ikan dalam tin; sayuran dalam tin; buah dalam tin dan pelbagai jenis jus buah-buahan; kuah salad dan mayones; pelbagai jenis minuman ringan termasuk minuman botanikal, susu kacang soya dan minuman kacang soya.


Apakah alasan yang digunakan dalam memilih makanan tersebut untuk mewajibkan pelabelan pemakanan ?
 
Kriteria utama yang digunakan dalam pemilihan makanan tersebut untuk diwajibkan pelabelan pemakanan ialah: kekerapan produk makanan itu digunakan, jumlah kuantiti yang dimakan dan kepentingan produk tersebut kepada komuniti

Nutrien apakah yang perlu dipaparkan pada label produk makanan tersebut ?
 
Terdapat 4 jenis nutrien yang diwajibkan pada pelabelan jenis-jenis makanan yang tersebut di atas iaitu tenaga, protein, karbohidrat dan lemak. 

Bagaimanakah cara yang sepatutnya untuk melabel nutrien berkenaan, iaitu apakah format yang harus digunakan ?
 
Maklumat mengenai nilai tenaga perlu diberikan sebagai kkal (kilokalori) setiap 100 g atau setiap 100 ml makanan atau setiap bungkus makanan jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Selain itu, nilai tenaga juga perlu diberi untuk setiap hidangan (serving) seperti yang dinyatakan pada label. Selain dari kkal, nilai tenaga boleh diberikan sebagai kJ. 

Maklumat mengenai dengan jumlah protein, karbohidarat dan lemak dalam makanan perlu dinyatakan dalam setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Maklumat tersebut perlu juga diberi bagi setiap hidangan yang dinyatakan pada label makanan.

Untuk makanan yang diterangkan dalam perundangan 349 hingga 356 (minuman ringan), jumlah kandungan gula yang terdapat dalam makanan perlu dinyatakan seperti berikut:

"Jumlah gula ......g".

 


Bagaimana jumlah tenaga dalam makanan dikira ?
 
Tenaga yang terdapat dalam makanan dikira seperti berikut:

[gram lemak dikali dengan 9] + [gram protein dikali 4] + [gram karbohidrat dikali 4] + [gram alkohol (jika ada) dikali 7] + [gram asid organik (jika ada) dikali 3] + [gram gentian diet (jika ada) dikali 2].


Selain daripada 4 jenis nutrien tersebut, bolehkah nutrien lain turut dinyatakan pada label?
 
Selain daripada 4 jenis nutrien tersebut, bolehkah nutrien lain turut dinyatakan pada label. 

Jika ya, apakah keadaan yang membolehkan nutrien pilihan ini diterangkan pada label ?
 
Kandungan vitamin dan mineral boleh diterangkan pada label dengan syarat vitamin dan mineral ini:

a) terdapat dalam senarai Nilai Rujukan Nutrien (Nutrient Reference Value) (NRV) atau dengan kelulusan secara tertulis dari Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia; dan

b) terdapat dalam makanan itu sekurang-kurangnya 5% NRV dalam satu hidangan seperti dinyatakan pada label.

 


Apakah format yang harus diikuti untuk pelabelan nutrien pilihan ini ?
 
Format pelabelan untuk vitamin dan mineral adalah sama dengan 4 jenis nutrien yang utama. Ianya perlu diterangkan dalam unit metrik setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Maklumat ini juga perlu diberi dalam bentuk setiap hidangan seperti yang dinyatakan pada label. Selain itu, informasi ini boleh juga diberikan sebagai peratusan Nilai Rujukan Nutrien (Nutrient Reference Value) (NRV) setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. 

Di bawah syarat atau keadaan apakah pelabelan nutrien pilihan ini menjadi mandatori ?
 
Bila sesuatu makanan itu membuat akuan/tuntutan pemakanan, pelabelan pemakanan adalah diwajibkan dan kandungan semua nutrien yang dibuat tuntutan pemakanan hendaklah juga dinyatakan. Rujuk kepada tuntutan pemakanan seterusnya dalam artikel ini. 

Selain vitamin dan mineral, apakah nutrien atau komponen lain yang boleh dilabel ?
 
Kandungan gentian diet (dietary fibre), asid lemak dan kolesterol merupakan nutrien pilihan lain yang boleh dinyatakan pada sesuatu label makanan. 

Di bawah keadaan apakah yang mewajibkan asid lemak dilabel ?
 
Apabila tuntutan dibuat mengenai jumlah dan/atau jenis asid lemak, kandungan setiap jenis asid lemak yang terkandung dalam makanan itu mestilah dilabel. Dengan lain kata, kuantiti asid lemak yang tepu, mono-taktepu dan poli-taktepu dan asid lemak trans (saturated, monounsaturated, polysaturated and trans fatty acid) perlu dinyatakan mengikut format berikut:

Lemak ..... g
Asid lemak mono-taktepu ..... g
Asid lemak poli-taktepu ..... g

Asid lemak tepu ..... g
Asid lemak trans ..... g 


Apakah cara yang betul untuk melabelkan paras kolesterol dan gentian diet ?
 
Jumlah kolesterol yang terkandung dalam makanan hendaklah diberikan dalam bentuk mg setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Gentian diet (dietary fibre) hendaklah dinyatakan dalam bentuk g setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Sebagai tambahan, maklumat ini perlu juga diberi dalam bentuk setiap hidangan seperti yang dinyatakan pada label

 
 
Hakcipta © 2006 - 2007 Sekolah Menengah Teknik Gerik. Hakcipta Terpelihara