|
| KESELAMATAN PRODUK
Menyoroti
gerakkan kepenggunaan di Malaysia yang didokongi oleh Gabungan Persatuan-Persatuan
Pengguna Malaysia (FOMCA), kita menyedari bahawa usaha menyedarkan seluruh
rakyat tentang hak mereka bukanlah suatu perkara yang mudah.
Pelbagai
kajian dan analisa dibuat bagi membuka mata dan minda pengguna di Malaysia
tentang kualiti dan tahap keselamatan produk yang berada di pasaran. Walau
pun tidak semua produk merupakan barangan yang merbahaya untuk pengguna
namun kecuaian dan kurangnya maklumat membolehkan pengguna di tipu dengan
mudah oleh penjual untuk membeli yang tidak berkualiti.
Sebagai
contoh, kereta Proton Wira, Waja dan Perdana yang menjadi kebanggaan rakyat
Malaysia yang dijual di dalam Negara adalah rendah mutunya berbanding yang
dijual di luar Negara. Perkara ini bukanlah satu rahsia dan telah banyak
kereta yang dikeluarkan oleh pihak PROTON yang dihantar semula ke pusat
servis selepas 3-6 bulan dibeli. Antara masalah yang popular dilaporkan
adalah lampu depan yang tercabut, ‘body’ kereta yang
mudah kemek, suspension tak berfungsi, Alarm, warna cepat lusuh dan sebagainya.
Bukan
produk kereta sahaja yang bermasalah, banyak lagi produk yang dihidangkan
kepada pengguna seperti peralatan elektronik, komputer, barangan rumah
dan pejabat yang sifatnya adalah barangan pakai buang.
Selalunya
kos pembaikan agak mahal, sekurang-kurangnya 1/3 atau 1/2 dari harga baru
barang tersebut. Jaminan atau ‘W’arranty’
bagi sesuatu produk kadang kala tidak menjamin keseluruhan kualiti produk
itu. Seperti mesin basuh, hanya enjinnya/motornya sahaja yang ada ‘warranty’.
Ini bermakna pengguna terpaksa bayar kos lain untuk kerosakkan lain.
DPPWP
berharap agar pekilang – pekilang di Malaysia prihatin dan mengeluarkan
produk jangka panjang dan berkualiti untuk pengguna. Rakyat Malaysia tidak
lokek untuk membayar lebih sekiranya barang yang dikeluarkan itu benar
– benar tahan lama dan berkualiti tinggi.
Para
pekilang juga perlu berusaha meningkatkan inovasi pengeluaran dengan mengeluarkan
barangan yang berkualiti dan murah bagi menyaingi barangan cetak rompak.
Menyentuh
isu yang berkaitan dengan cetak rompak, Malaysia kini berada dalam senarai
antara Negara utama yang terlibat dalam industri cetak rompak di Asia.
Dari CD hinggalah kepada peralatan canggih seperti telefon, hardware dan
software computer, pakaian dan sebagainya. Lihatlah pelbagai jenama produk
terkemuka seperti Levis, Camel, Dunhill, Nike dan banyak lagi yang boleh
ditemui dengan harga murah di tepi jalan sepanjang Jalan Tunku Abd Rahman,
Jalan Masjid India, Petaling Street dan banyak tempat lagi diseluruh Negara.
Peniaga
dan pengguna tidak boleh disalahkan 100% dalam masalah cetak rompak ini.
Seharusnya pihak pekilang dan pengeluar memahami bahawa mereka boleh mengatasi
masalah ini jika mereka berani menurunkan ego dan harga komersial mereka.
Selalunya barangan yang berjenama itu tidaklah terlalu tinggi kosnya.
Kebiasaannya
harganya melambung setelah menokok tambah kos penjenamaan dan promosi yang
kononya merangkumi sekitar 50%-80% dari harga barangan yang dijual. Sekiranya
mereka menurunkan harga pada tahap yang releven dengan saku pengguna, pastinya
harga mereka boleh bersaing dipasaran dan menyebabkan barangan cetak rompak
kehilangan pelanggan setianya.
Di
samping itu, DPPWP juga melihat bahawa ramai peniaga yang cuba menipu pelanggan
dengan tidak mempamerkan harga barang jualan mereka dengan jelas termasuk
di pasaraya besar dan kedai-kedai runcit. Promosi potongan harga dibuat
hanya bagi barang-barang yang sememangnya benilai rendah dan tidak berkualiti.Selain
masalah di atas, pengguna di Malaysia juga dihantui dengan masalah kenaikkan
harga pasaran semasa. Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Januari
2005 ialah 107.5, naik sebanyak 2.5% berbanding Januari 2004 (105.0). Perubahan
yang ketara ini merisaukan para pengguna kerana ianya melibatkan kenaikkan
harga bagi semua kumpulan utama kecuali bagi indeks produk Pakaian dan
kasut yang turun sebanyak 1%.
Indeks
harga makanan meningkat +3.2%, Pengangkutan dan perhubungan +2%, pelbagai
barangan dan perkhidmatan +1.6%, Perbelanjaan Rawatan Perubatan dan Kesiahatan
+1.4%, sewa, bahan api dan kuasa +1%. Secara keseluruhannya Kenaikkan harga
Makanan, sewa, bahan api dan kuasa serta pengangkutan dan perhubungan telah
menyumbang sebanyak 73.5% kepada kenaikan IHP pada tahun ini.
Dasar
kerajaan yang membenarkan permintaan kenaikkan harga petrol, diesel, tol,
daging, ayam, surat khabar oleh para pengeluar telah menyebabkan rakyat
tertindas. Jika di teliti, Trend kenaikkan ini berlaku hampir setiap 2
bulan sejak akhir tahun lalu. Ini mengusarkan para pengguna dan ianya telah
menambahkan beban kewangan para pengguna kerana pendapat isi rumah tidak
berubah dengan banyaknya.
DPPWP
menyarankan agar pihak Kerajaan membuat kajian semula terhadap Dasar Anti
Lambakkan yang diperkenalkan bagi memastikan agar bekalan dan harga pasaran
barangan pengguna dapat diturunkan. Tidak guna jika Kerajaan cuba melindungi
pekilang tempatan dengan menaikkan cukai import kepada 100%-300%, tetapi
dalam masa yang sama kualiti mereka tidak pernah bertambah baik. Perkara
ini bukan baru, Dasar Anti Lambakkan ini telah lebih 20 tahun diperkenalkan
tetapi tidak banyak kemajuan dicapai.
DPPWP
dimaklumkan bahawa berjuta ringgit geran bantuan kerajaan tidak diambil
oleh pihak pekilang dalam Negara yang di tawarkan oleh Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memajukan produk mereka. Kita khuatir
jika dana ini disalahgunakan untuk projek yang tidak sepatutnya, seharusnya
MITI proaktif dalam mempromosikan geran ini agar ianya diketahui umum.
DPPWP
berharap agar Cukai Anti Lambakkan ini dikurangkan atau dikecualikan bagi
produk makanan dan barangan utama pengguna yang diimport dari Negara –
negara ASEAN sebagai alternatif penyelesaian kepada masalah kekurangan
sumber pertanian dalam Negara.
Dalam
masa yang sama pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani perlulah
dipulihkan dan ditingkatkan dengan mengutamakan penanaman serta penternakan
produk yang menjadi keutamaan serta keperluan utama rakyat seperti beras,
gula, ayam, daging dan sayuran. Geran tanah pertanian bagi masyarakat luar
bandar perlulah diperbanyakkan dan dalam masa yang sama pemantauan terhadap
pembukaan kawasan baru dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kawasan pertanian
haram.
Bagi
DPPWP, kerajaan boleh meneruskan Cukai Anti Lambakkan bagi produk yang
diimport dari Negara Amerika dan sekutu Israel sebagai tanda memprotes
tindakkan ganas Rejim Israel di Palestine. Dalam pada itu, keutamaan barangan
import harus diberi kepada pengimport dari Negara Asia dan Negara-negara
sedang membangun yang lain bagi menyokong perkembangan industri dan perdagangan
antarabangsa agar lebih seimbang pada masa akan datang, sesuai dengan kepesatan
era globalisasi.
Isu
seterusnya adalah berkaitan dengan kesahihan jaminan HALAL sesuatu produk
dipasaran seperti Ayam, daging dan makanan dalam tin yang kini telah menjadi
isu hangat dalam masyarakat pengguna. DPPWP memandang serius perkara ini
dan seharusnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memainkan fungsinya
dengan aktif bagi menyiasat kejadian pemalsuan logo HALAL. Penguatkuasaan
dari JAKIM dan Jabatan Agama disetiap negeri perlulah dilakukan dengan
tegas dan memastikan logo HALAL tidak disalah gunakan.
Kini,
setiap bulan kita didedahkan dengan pelbagai penemuan produk Haram yang
dicop Halal dan dikilangkan dalam Negara. Kawalan terhadap penyembelihan
dan pemprosesan babi di Negara ini perlulah diperketatkan agar ianya tidak
disalahgunakan atau dicampurkan dengan bahan lain untuk menghasilkan produk
seperti sosej, makanan dalam tin dan makanan ringan lainnya. Jika perkara
ini tidak diambil serius, maka langkah kerajaan untuk mempromosikan Malaysia
sebagai Negara Pengeksport Barangan Halal terkemuka (Halal Hub) didunia
tidak akan tercapai.
Bersempena
dengan sambutan Hari Pengguna pada hari ini, DPPWP menyeru agar para pengguna
di negara dapat meningkatkan ilmu kepenggunaan dan bersifat sensitif terhadap
perubahan harga pengguna di pasaran. Sekiranya para pengguna mempunyai
pengetahuan
pastinya gerakkan pengguna akan lebih lantang dari sekarang dan pastinya
kelantangan itu akan mengusarkan para peniaga khususnya bagi mereka selalu
menipu pengguna.
Kita
perlu bersatu untuk berjuang dalam memastikan perkhidmatan Hospital, pendidikan
tidak diswastakan, begitu juga dengan harga pasaran barangan pengguna,
kita berharap agar ianya dapat distabilkan.
DPPWP
juga berharap agar pihak Kerajaan mengambil langkah segera dalam membendung
‘pesta naik harga’ yang kian menggila kini. Mungkin
ahli kabinet tidak merasai kepayahan ini kerana mereka makan, minum, kos
pengangkutan dan rumah mereka ditanggung dengan dana negara. Tetapi fikirkanlah
rakyat marhaien yang bekerja diladang, dilaut dan dibendang yang pastinya
tidak mampu menghadapi kemelut ini jika dibiarkan berterusan. |
| Kawalan
Ulat-ulat dalam makanan
Kawalan ulat2 dalam makanan
akan merupakan perkara biasa yang akan menghasilkan perkara yang berikut
Makanan dan minuman yang
halal telah jelas dimaklumi oleh kebanyakan kita, tetapi ramai di kalangan
kita yang tidak menyedari bahawa proses pembuatan atau penyediaan sesuatu
makanan itu boleh menjadikan ia haram di makan. Kaedah pembersihan, ramuan
masakan dan alat kegunaan memasak perlu agar menepati piawaian menurut
buku "Garis panduan makanan, minuman dan bahan gunaan orang islam yang
di sediakan oleh JAKIM" menyatakan bahawa sesuatu makanan yang di proses
adalah halal sekiranya bahan ramuan dan kaedah pemprosesan adalah suci
dari najis sepeti :
1. Ia tidak terdiri daripada
bahagian atau benda haiwan yang di larang umat islam memakannya atau tidak
di sembelih.
2. Ia tidak mengandungi apa-apa
benda yang di anggap najis mengikut hukum syarak seperti minyak babi, lemak
bangkai atau jenis arak.
3. Semasa di sediakan atau
diproses, alat yang di gunakan bebas dari najis seperti kuali, periuk,
pinggan mangkuk dan sudu.
4. Ia tidak bercampur dengan
benda yang haram semasa menyedia, memproses atau menyimpannya.
Perlu dijelaskan, bersih
dan suci mempunyai makna berbeza. Bersih bermaksud sesuatu benda itu boleh
digunakan untuk kegunaan harian dan tidak memudaratkan, tetapi Suci, lebih
dari itu kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan akidah dan ibadat
kepada Allah S.W.T. Sebagai contoh, kita membasuh pakaian menggunakan sabun
yang berjaya membersihkan kekotoran, tetapi belum tentu menjamin kesuciannya.
Pakaian hanya di anggap bersih dan suci selepas dibilas dengan air mutlak.
Oleh itu sesuatu yang di anggap bersih oleh masyarakat belum tentu diiktiraf
suci oleh Islam. Ini adalah kerana Islam menitikberatkan kebersihan sebagaimana
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Kebersihan itu sebahagian
daripada iman".
Walau bagaimanapun, berapa
ramai daripada kita yang menyedari bahawa roti tawar yang kita makan mengandungi
najis. Sayur kangkung masak belacan atau masakan kailan dan ikan masin
mengandungi najis. Begitu juga masakan ikan siakap masam manis. Ini adalah
kerana kaedah pembersihan semua masakan tadi tidak menepati hukum syarak.
Kita amat pasti bahawa telur yang di ambil oleh penebar roti canai lalu
diadun menjadi roti telur tidak dibasuh. Telur itu datang dari dubur ayam
yang sudah tentu najis, maka kita pun menikmatinya dengan lazat sekali.
Syarak menetapkan bahawa
kaedah menyucikan sesuatu, termasuklah makanan adalah menggunakan air mutlak
yang mengalir. Dalam membersihkan sayur kangkung, kailan atau ikan siakap
di syaratkan agar mengalirkan air pada sayuran atau ketulan ikan yang di
letakkan dalam tapisan berlubang atau mengalirkan air kepada ketulan ikan
itu satu persatu sehingga najis yang terdapat padanya hilang. Fenomena
yang berlaku dewasa ini dengan mencelupkan sayuran atau ikan dalam sebuah
bekas besen adalah tidak menepati hukum syarak, kerana najis yang melekat
pada sayuran dan ikan tadi tidak akan keluar, malah mengenai keseluruhan
makanan tersebut. Situasi ini banyak berlaku di kalangan suri rumah dan
di kedai-kedai makan. Malah lebih memilukan jika penyedia makanan itu adalah
orang bukan Islam yang memang jahil tentang kaedah penyucian tersebut dan
kita pula menjadi pelanggan tetapnya.
Islam amat menitikberatkan
halal dan haram dalam makanan kerana ia akan bertandang ke dalam tubuh
badan menjadi darah daging dan tenaga untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Alangkah pilunya hati kita, dalam kita bertakrub kepada Allah S.W.T., bermunajat
dan memanjatkan doa, tubuh kita di selimuti segala macam yang tidak halal.
Minda, rohani dan sahsiah muslim terbentuk mengikut acuan makanan dan minuman
yang mengalir dalam tubuh. Kita amat bimbang jika segala perintah Ilahi
yang kita turuti dan larangan yang kita patuhi menjadi sia-sia di sisi
Allah S.W.T. sebagaimana Rasulullah S.A.W. bersabda :
[Kemudian ia menyebutkan
ada seorang lelaki datang dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus,
mukanya penuh dengan debu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil
berdoa: "Wahai tuhanku, wahai tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya
haram, pakaiannya haram dan di beri makan dengan yang haram pula, maka
bagaimana mungkin doanya itu kabulkan?].
Muslimin yang di rahmati
Allah,
Makanan yag baik, halal dan
suci menurut peraturan syarak akan membentuk keperibadian yang mulia dan
terpuji bertunjangkan kehidupan Islam. Ini adalah kerana Islam amat mementingkan
kebersihan apabila berada dalam keadaan bersih, iman dan takwa akan menjadi
subur. Hati lebih mudah dilentur dan dipandu ke jalan yang benar. Sifat-sifat
mazmumah (keji) seperti tamak, riak', zalim, bakhil, dusta, mungkir janji
dan hasad dengki akan mudah dihindari. Manakala sifat mahmudah (terpuji)
seperti benar, pemurah, sabar, tawakal, akan menjadi pakaian dalam kehidupan
seharian.
Seorang ulama', Sheikh Ali
Syazali ada menyatakan: "Sesiapa memakan benda yang halal, maka hatinya
menjadi lunak, tipis dan bersinar, sedikit tidurnya, dan tidak terhalang
daripada berhadapan dengan Allah. Sebaliknya pula sesiapa yang makan benda
yang tidak halal, maka tergeraklah semua anggota badan untuk melakukan
maksiat.
Kadangkala kita juga merasa
hairan, bagaimana sesetengah pengusaha makanan boleh mematuhi peraturan
dunia, tetapi tidak mengambil berat peraturan Allah S.W.T . Kita akan segera
membersihkan gerai atau kedai makan apabila pegawai Penguatkuasa Kementerian
Kesihatan atau Majlis Perbandaran hadir membuat pemeriksaan tentang kualiti
kebersihan kerana takut dikenakan kompaun, tetapi selepas mereka beredar,
kita mengabaikannya sedangkan Allah sentiasa memerhatikan kita setiap waktu,
dan aspek kebersihan ini mempunyai hubungkait dengan alam akhirat kita.
Apakah jawapan kita dihadapan Allah jika di ajukan soalan "Kenapakah kamu
memberi makanan yang tidak halal lagi tidak bersih kepada orang Islam?".
Sebagai umat Islam yang prihatin,
kita boleh menghindari perkara-perkara yang disebutkan tadi dengan mengambil
beberapa langkah berikut:
1. Memberi tunjuk-ajar kepada
isteri kita tentang kedah menyucikan daging dan sayur dengan menggunakan
air yang mengalir.
2. Meminta pengusaha roti
canai, terutama roti telur, mertabak, agar membasuh telur yang akan diadun
menjadi roti telur terlebih dahulu.
3. Mengelak dari makan dan
minum dikedai bukan Islam, kerana konsep halal yang mereka ketahui hanyalah
haiwan yang akan dimakan itu, disembelih tanpa mengetahui bahawa Islam
juga menitik beratkan kesucian semasa penyediaan dan kandungan ramuan masakan
tersebut.
Sebuah Hadis Rasulullah S.A.W
perlu menjadi ingatan dan panduan kepada kita dalam menangani masalah ini
agar tidak terjebak dengan makanan yang haram. Rasulullah S.A.W memberi
peringatan keras dengan sabdanya yang bermaksud:
[Setiap daging yang tumbuh
(pada jasad) daripada sesuatu yang haram, maka api neraka baginya adalah
lebih utama]. |
PANDUAN MEMANDU
KETIKA KECEMASAN
BREK
GAGAL BERFUNGSI
-
Seseorang
pemandu menekan injap brek, tetapi injak brek terus menyentuh lantai.
-
Pamkan
injak brek dengan segera, bagi memulihkan tekanan brek.
-
Sekirannya
gagal, tarikkan brek tangan beransur-ansur, tukar gear rendah dengan menggunakan
kuasa pemampatan enjin untuk memperlahankan kenderaan
-
Sekiranya,
brek terus gagal berfungsi ketika berada di atas bukit, bukit curam atau
kenderaan itu membahayakanpengguna Jalan raya yang lain, segera carikan
objek untuk digesel seperti semak ditepi Jalan , rel adang dan bahu Jalan,
agar kenderaan dapat dikawal dan memperlahankannya.
-
Gunakan
hon dan lampu untuk memberi amaran kepada lain-lain pemandu dan penjalan
kaki.
KENDERAAN
TERBABAS
-
Sekiranya
bahagian belakang kenderaan terbabas, lepaskan pedal pemecut dengan segera
dan tekan brek.
-
Pusingkan
stereng mengikut arah belakang yang terbabas itu.
-
Jangan
gunakan brek dalam keadaan ini
PEMECUT
TERLEKAT
-
Jika
Jalan raya selamat, cuba tarikkan injak pemecut yang terlekat dengan hujung
kasut anda.
-
Sekiranya
tidak boleh, matikan suis enjin dan gunakan brek untuk cuba memberhentikan
kenderaan.
-
Pegang
stereng dengan kuat, supaya tidak terkunci semasa suis enjin dimatikan.
Berhenti segera ditempat yang selamat dan baiki injak pemecut yang rosak
kalau gagal hubungi mekanik
BONET
TERBUKA
-
Brek beransur-ansur
-
Naik ke
atas bahu Jalan.
-
Lihat
melalui tingkap untuk panduan dan berhenti memandu.
-
Sentiasa
pastikan bahawa bonet itu ditutup rapat selepas kenderaan digerakkan.
TAYAR
PECAH
-
Pegang
stereng dengan erat.
-
Jika tayar
belakang yang pecah, kenderaan akan tidak stabil iaitu membelok ke kiri
dan ke kanan.
-
Brek perlahan-lahan
dan berhati-hati.
-
Brek dengan
tiba-tiba menyebabkan kenderaan berpusing dan sukar dikawal.
-
Naik ke
atas bahu Jalan perlahan-lahan di kawasan rata dan selamat untuk menukar
tayar.
-
Jangan
tukar tayar di kawasan bahaya.
-
Nyalakan
lampu kecemasan atau meletakkan alat-alat kecemasan yang lain agar pemandu
kenderaan lain akan mengetahui ada kecemasan di hadapan.
LAMPU
HADAPAN KENDERAAN TERPADAM
-
Kejadian
ini akan menghadkan pandangan anda.
-
Pegang
kan stereng untuk meluruskan arah pergerakkan kenderaan dan brek segera
tanpa menyebabkan kenderaan terbabas.
-
Naik ke
atas bahu Jalan jauh dari aliran lalu lintas.
-
Hentikan
kenderaan dengan segera.
-
Nyalakan
lampu kecemasan. Digalakkan menggunakan alat-alat kecemasan untuk memberi
amaran kepada pengguna Jalan raya yang lain agar lebih berhati-hati.
KENDERAAN
TERBAKAR
-
Kejadian
berlaku akibat litar pintas dalam system elektrik.
-
Hentikan
kenderaan dengan segera.
-
Matikan
sistem pencucuh dan arahkan penumpang keluar.
-
Buka bonet
dan umpilkan wayar-wayar yang terbakar jika boleh.
-
Gunakan
alat pemadam.
-
Sekiranya
api tidak dapat dikawal, tinggalkan kenderaan tersebut dengan segera sebelum
sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan minta bantuan pihak
bomba
TERPAKSA
BERHENTI DI ATAS LEBUHRAYA
-
Berikan
isyarat dan susur keluar di bahu lebuh raya dengan perlahan.
-
Lampu
hadapan dinyalakan rendah diwaktu senja, malam dan waktu hujan
-
Nyalakan
lampu sebelah dalam kenderaan dan lampu isyarat kecemasan.
-
Jika kenderaan
berhenti di selekoh, dipuncak bukit atau kawasan bahaya, keluarkan penumpang
jauh dari aliran lalulintas.
-
Pastikan
alat-alat kecemasan diletakkan dlam jarak 5 meter di belakang kenderaan.
-
Angkat
bonet dan dapatkan bantuan.
CERMIN
HADAPAN PECAH
-
Perlahankan
kenderaan, jenguk melalui tingkap dan berhenti ditempat yang selamat.
-
Rentangkan
gebar atau kain atas papan pemuka dan letakkan serpihan kaca atas gebar
atau kain tersebut.
-
Lindungi
mata dengan memakai kaca mata.
-
Gantikan
cermin hadapan yang pecah dengan segera.
MENGHADAPI
SESUATU KEMALANGAN
-
Had
laju yang rendah boleh mengurangkan daya impak. Hala ke arah bahu Jalan
disebelah kiri dan pandu keluar dari jalan raya. Bunyikan hon dan nyalakan
lampu hadapan.
-
Jangan
cuba membelok kesebelah kanan kerana pemandu kenderaan mungkin terkejut
dan melanggar anda.
Perancangan
dan pengetahuan adalah mustahak dalam tindakan mengelakkan kemalangan!
|
| Keracunan kanak-kanak
di rumah
Racun makhluk perosak
Tanpa
disedari kita dapati pelbagai jenis racun makhluk perosak tersimpan di
rumah. Racun makhluk perosak bukan sahaja digunakan di rumah, tetapi juga
di kebun dan ladang untuk melindungi tanaman. Oleh itu kaedah penggunaan,
penyimpanan dan kawalannya harus dititikberatkan terutamanya kepada kanak-kanak.
Kanak-kanak
merupakan mangsa utama yang terdedah kepada bahaya keracunan kerana tingkah-laku
atau tabiat kanak-kanak kecil yang suka memasukkan apa-apa sahaja yang
ditemui ke dalam mulut. Oleh itu langkah-langkah keselamatan harus diberi
perhatian semasa menggunakan racun makluk perosak. Segala arahan penggunaan
yang tercatat pada bekas atau kotak racun tersebut perlu dipatuhi bagi
mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Racun
makhluk perosak boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu racun
serangga, racun kulat, racun tikus, racun rumpai, racun biologi bagi mengawal
serangga, racun fumigasi, dan racun nemaroda. Racun makhluk perosak yang
tersimpan di rumah adalah seperti racun serangga (insektisid) dan
racun tikus (redontisid).
Kebanyakan
racun makhluk perosak tidak sahaja toksik terhadap organisma sasaran tetapi
juga terhadap manusia dan haiwan peliharaan di rumah. Faktor utama yang
perlu diberi perhatian adalah cara racun tersebut memasuki tubuh manusia.
Racun makhluk perosak dapat memasuki badan manusia menerusi mulut, kulit
dan saluran pernafasan. Gejala keracunan yang berlaku akibat pendedahan
sekali terhadap racun disebut keracunan akut. Keracunan kronik pula kerana
pendedahan berulang kali atau penyerapan racun pada kadar yang sedikit
dalam jangka masa yang panjang.
Racun
serangga
Racun
serangga yang digunakan di rumah terdapat dalam bentuk sediaan semburan
(aerosol), lingkaran dan kepingan (mat). Kebanyakan racun serangga jenis
ini terdiri daripada racun serangga piretroid. Racun piretroid
mempunyai tahap ketoksikan yang rendah terhadap manusia. Biasanya racun
ini akan dinyahkan daripada tubuh melalui proses penguraian dan perkumuhan.
Oleh itu racun serangga jenis ini tidak begitu berbahaya kepada manusia
dan jarang mengakibatkan gejala keracunan yang teruk.
Terhidu
asap dari lingkaran atau bauan kepingan ubat nyamuk tidak begitu berbahaya
kepada kesihatan. Racun yang terdapat dalam asap ataupun bauan tersebut
mudah diserap ke saluran usus. Dan kemudian akan dinyahkan dari tubuh kita
melalui proses penguraian dan perkumuhan. Walau bagaimana pun asap dan
bauan ini mungkin menjadi alahan kepada kanak-kanak yang menghidap asma
dan sensitif (alahan) terhadap asap dan mengakibatkan bersin, batuk, nafas
menjadi pendek, dan sakit di bahagian dada.
Walaupun
racun serangga piretroid tidak berbahaya, tetapi racun serangga
dapat menyebabkan keracunan dan kematian dengan dos-dos yang tertentu;
bergantung kepada cara ia memasuki tubuh manusia. Tanda-tanda keracunan
ialah mual atau muntah serta cirit-birit. Keracunan juga menyebabkan kerosakan
sistem saraf pusat dan boleh mengakibatkan sawan, koma, dan sesak nafas.
Bantuan kecemasan perlu dilakukan supaya pesakit tersebut muntah dan mengeluarkan
semula bahan racun.
Racun
piretroid
dihasilkan daripada ekstrak bunga kekwa (chrysanthemum). Sebatian piretrum
ini mengandungi beberapa jenis bahan aktif piritrin. Bahan aktif
ini kemudiannya dicampurkan dalam proses penyulingan minyak. Paru-paru
merupakan organ utama serangan racun ini. Kanak-kanak yang mengidap asma
boleh mengalami lelah serta merta jika terhidu racun ini. Jika kerap kali
terhidu boleh menyebabkan saluran atas pernafasan gatal-gatal, radang kerongkong,
rinitis, dan berlaku gerakbalas hipersensitiviti. Kanak-kanak yang mengalami
keracunan melalui saluran pernafasan, hendaklah segera dibawa ke tempat
lapang dan diberi bantuan pernafasan. Jika racun piretroid (jenis
semburan) terkena kulit ataupun mata, ia boleh memedihkan serta menyebabkan
gatal-gatal. Dalam kes ini, bahagian badan perlu dicuci dengan air bersih
yang banyak bersama cucian sabun. Bagi mata yang terkena semburan
racun tersebut, cuci dengan air bersih selama 10-15 minit. Pakaian yang
terkena racun haruslah dibasuh sebelum dipakai semula.
Ubat
gegat
Racun
serangga dalam bentuk biji terutamanya ubat gegat mengandungi bahan kimia
naftalin
dan paradiklorobenzin. Bahan kimia ini juga terdapat dalam pewangi
tandas (toilet bowl deodorizers). Kedua-dua bahan kimia tersebut mengeluarkan
bau yang kuat dan susah untuk menghilangkannya. Sekarang naftalin
kurang digunakan dan digantikan dengan aradiklorobenzin yang lebih
rendah kesan toksiknya. Kedua-dua bahan kimia ini boleh menyebabkan kegagalan
sistem penghadaman dan sistem saraf pusat. Bagi pesakit yang mengalami
kekurangan enzim glukos-6-fosfat dihidrogenase, naftalin boleh menyebabkan
hemolisis (gangguan sel darah).
Setiap
ubat gegat mengandungi 250-500mg naftalin dan boleh menyebabkan
hemolisis. Sawan atau gelugut boleh berlaku jika termakan 1-2g naftalin
4-8 biji ubat gegat). Secara perbandingan paradiklorobenzin kurang
toksik daripada naftalin. Walau bagaimanapun jika termakan lebih daripada
20g boleh menyebabkan toksik bagi dewasa. Paras keracunan paradiklorobenzin
ialah di antara 500-5000mg/kg. Ada laporan mengatakan bahawa keracunan
serius yang terjadi pada haiwan menyebabkan tremor dan nekrosis hati. Biasanya
apabila keracunan ini berlaku kita boleh mengetahui daripada kesan bau
ubat gegat tersebut pada mulut dan muntah mangsa. Walau bagaimanapun sukar
untuk kita bezakan antara naftalin dan para klorobenzin dari
segi bau dan warna.
Apabila
berlaku keracunan melalui mulut, muntah haruslah diikhtiarkan. Misalnya
dengan memasukkan jari ke dalam kerongkong. Jika tidak dilakukan bawa pesakit
segera ke hospital agar rawatan perubatan selanjutnya dapat diberikan.
Kedua-dua
bahan kimia tersebut jika terkena atau tersentuh pada mata boleh menyebabkan
radang dan kemerahan mata. Naftalin boleh mencederakan kornea dan
penglihatan menjadi kabur. Rawatan awal ialah dengan mencuci mata dengan
air bersih selama 15 minit. Jika radang berlanjutan dan masih sakit, harus
segera berjumpa doktor bagi rawatan seterusnya.
Sentuhan
pada kulit boleh menyebabkan melecur, tetapi gejala ini jarang berlaku.
Basuh dengan air yang banyak bersama cucian sabun sekiranya terkena pada
kulit.
Kini
di pasaran terdapat ubat gegat dalam pelbagai bentuk dan warna dan dianggap
sebagai gula-gula oleh sebahagian kanak-kanak tanpa mengetahui itu adalah
racun. Oleh itu, ibu bapa hendaklah berhati-hati ketika menggunakannya.
Dan tempatkan di tempat yang terselindung dan tidak mudah dilihat atau
dijumpai oleh kanak-kanak.
Racun
Tikus
Racun
tikus boleh didapati dalam pelbagai jenama dan bentuk sediaan. Di Malaysia
sahaja terdapat lebih kurang 50 jenama yang berdaftar. Sebahagian daripadanya
digunakan begitu meluas di ladang dan kebun. Racun tikus yang digunakan
di rumah biasanya dalam bentuk sediaan debu, serbuk, butir dan umpan pepejal.
Sediaan dalam bentuk butir berwarna biasanya menarik perhatian kanak-kanak
yang menganggap sebagai makanan ringan. Walaupun tidak berbahaya pada manusia
dan haiwan peliharaan tetapi setengah daripada racun tikus mengandungi
bahan kimia tertentu yang toksik kepada manusia.
Keracunan
racun tikus kepada manusia bergantung kepada kandungan bahan aktif. Kandungan
bahan aktif (bahan kimia) dalam sediaan racun tikus terdiri dalam berbagai
jenis, antaranya brodifacoum, bromadiolone, calsium cyanide, chlorophacinone,
coumatetralyl, doumatetralyl, flocoumafen, warfarin dan zinc phosphide.
Racun tikus mengandungi bahan kimia yang amat toksik kepada manusia telah
diharamkan penjualannya oleh kerajaan dan tidak sepatutnya disimpan di
rumah, contohnya: arsenik, fosforus, talium, flourida, sianida, dan
strichnin.
Bahan-bahan
kimia yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keracunan ataupun maut jika
diambil dengan kadar dos yang tinggi.
Racun
tikus yang mengandungi bahan aktif zinc phosphide merupakan antara
racun yang berbahaya dengan mempunyai kadar toksik yang tinggi. Kandungan
peratusan bahan aktifnya adalah sebanyak 80%. Racun tikus ini mengeluarkan
bau seperti ikan busuk dan rasanya tidak akan membuatkan haiwan lain tertarik,
tetapi ciri-ciri ini menarik perhatian tikus. Biasanya racun tikus ini
terdapat di pasaran dalam bentuk serbuk dan pepejal. Racun ini boleh memasuki
badan kita menerusi saluran pernafasan, mulut atau diserap melalui luka,
Apabila racun ini dicampur atau bersentuhan dengan air atau asid lemah
ia akan membebaskan gas fosfin. Anggaran dos mautnya lebih kurang
40mg/kg. Keracunannya menyebabkan kesesakan paru-paru, tekanan darah menjadi
rendah, sukar bernafas, muntah, kadar denyutan jantung tidak menentu, gelugut,
dan seterusnya menyebabkan koma, kerosakan ginjal, penggurangan sel darah
putih dan boleh membawa maut dalam masa empat hari hingga dua minggu. Jika
berlaku keracunan rawatan awal yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan
mangsa minuman susu atau air bertujuan meneutralkan asid dalam perut, iktiarkan
muntah dan segera membawa mangsa ke hospital utnuk mendapatkan rawatan
lanjut.
Antikoagulan
(agen pencair darah) adalah kelas racun tikus yang mempunyai tahap keracunan
yang rendah pada manusia. Antikoagulan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu
coumarin
dan indanedione. Warfarin, difenacoum, bromadiolone
dan brodifacoum
merupakan komponen utama 4-hydroxycoumarin manakala indanedione
pula
terdiri daripada diphacinone, pindone dan chlorphaacinone. Kepekatan
warfarin
dalam setiap racun tikus biasanya antara 0.025-05%.
Warfarin tidak
mempunyai rasa, bau, ataupun warna. Brodifacoum, difenacoum dan
chlorphacinone dijual dalam pasaran dengan kepekatan antara 0.005-2%.
Kumpulan ini juga dikenali sebagai superwarfarin. Kesemua komponen
tersebut terdapat di pasaran dalam sediaan serbuk, butir, tablet, dan kapsul.
Racun
tikus warfarin apabila dimakan berulang kali dalam masa sehari menyebabkan
pendarahan pada tikus mahupun manusia kerana darah tidak lagi mudah membeku.
Sekiranya hanya sekali sahaja diambil kesan toksik pada manusia tidak ketara.
Anggaran dos mautnya ialah lebih daripada 5-20mg sehari diambil selama
lebih daripada tiga hingga lima hari. Kumpulan superwarfarin didapati
lebih toksik daripada warfarin kerana menyebabkan pendarahan dengan
lebih lama. Dos keracunan kumpulan superwarfarin adalah bebeza-beza
mengikut kandungan racun tersebut. Dos keracunan melalui mulut bagi chlorphacinone
ialah 250-625mg, 7.5mg bagi brodifacoum (0.12mg/kg) dan 500 mg bagi
difenacoum.
Kumpulan ini sama juga dengan warfarin jika diambil sekali tidak
berulang kali selama seberapa hari.
Tanda-tanda
keracunan racun tikus antikoagulan seperti terasa mual atau muntah dan
cirit-birit. Pendarahan yang berlaku menyebabkan luka lambat sembuh, gusi
atau hidung berdarah, najis dan kencing berdarah, dan dalam keadaan teruk
boleh menyebabkan renjatan dan tidak sedarkan diri akibat dari pendarahan
dalam termasuk pendarahan usus. Jika berlaku keracunan ikhtiarkan supaya
kanak-kanak tersebut muntah dan segera bawa ke hospital.
Langkah-langkah
pencegahan/keselamatan penggunaan racun di rumah
-
Racun hendaklah disimpan dengan
selamat sebelum dan selepas digunakan untuk menggelakkan kejadian yang
tidak diingini berlaku.
-
Seelok-eloknya simpan di tempat
yang tinggi dan tidak dapat dilihat oleh kanak-kanak.
-
Tempat simpanan yang berkunci
dan jangan simpan bersama bahan-bahan makanan dan minuman.
-
Simpan dalam bekas asal racun
tersebut dan jangan pindahkan ke dalam bekas lain.
-
Tempat racun diletakkan hendaklah
tidak mudah dilihat oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan.
-
Gunakan bekas khas untuk menyediakan
racun tikus dan jangan sekali-kali gunakan bekas itu untuk menyediakan
makanan.
-
Jangan sediakan racun tikus
dengan tangan dan sebaiknya cuci tangan selepas menyediakan racun tersebut.
-
Gunakan racun semburan 10-15
minit sebelum masuk tidur.
-
Sebelum menggunakan racun semburan
pastikan kanak-kanak tiada di situ dan segala permainan disimpan ke tempat
lain.
-
Pastikan ubat nyamuk (lingkaran)
digunakan dalam bekas yang sesuai dan jauhkan dari sebaran bahan yang mudah
terbakar.
Oleh
itu, segala racun makhluk perosak yang digunakan di rumah janganlah dipandang
ringan. Jika terdedah berulang kali dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan
keracunan kronik kepada pengguna. Walau apa pun kes keracunan, mangsa harus
mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor secepat mungkin untuk mengelakkan
kejadian yang tidak diingini berlaku. Pusat Racun Negara perlu dihubungi
untuk mendapat nasihat dan maklumat lanjut tentang keracunan.
"Waspada:
Racun bukan sahaja membunuh perosak"
|
| Bahaya Penggunaan
Kosmetik
Kebanyakan
barangan kosmetik mekap muka mengandungi bahan-bahan yang tidak merbahaya
dan dijual dalam kuantiti yang kecil. Barangan ini bolehlah dianggap tidak
beracun. Namun begitu, sekiranya tertelan, air atau susu perlu diminum
untuk mencairkan bahan kimia yang terdapat di dalam perut.
Pensil
Alis Mata
Pencil
alis mata biasanya mengandungi beberapa jenis bahan kimia antaranya lampblack,
petrolatum dan parafin, kadangkala aluminium silikat dan asid stirat. Penggunaannya
di bawah kelopak mata tidak digalakkan oleh pakar perubatan kerana boleh
menyebabkan pigmentasi pada lapisan mukosa pada mata, mata menjadi merah,
radang, berair dan pandangan menjadi kabur. Parafin tulin adalah merbahaya
pada kulit. Kehadiran yang tidak tulin boleh menyebabkan kerengsaan dan
ekzema. Walaupun pada amnya kandungan petrolatum adalah tidak toksik, tetapi
bahan ini boleh menyebabkan alahan pada kulit.
Pembayang
Mata
Pembayang
mata mengandungi lanolin, beeswax, seresin, kalsium karbonat, minyak mineral,
sorbitan oleate dan bedak. Bedak boleh menyebabkan gangguan paru-paru jika
terdedah secara berpanjangan.
Maskara
Maskara
mengandungi garam asid stearik berserta pigmen, lanolin, parafin dan lilin
carnauba. Sejak penggunaannya selama beberapa tahun, terdapat beberapa
kes seperti melecur, mata berair dan kerengsaan mata ke atas penggunanya.
Gincu
Gincu
juga dianggap tidak berbahaya. Ia biasanya mengandungi minyak galian atau
sayuran, lilin dan pewarna. Lain-lain bahan yang ditambah termasuklah bahan
pelembap, pewangi, pengawet, antioksidan dan mungkin juga perasa. Jika
ditelan, ia tidak meninggalkan sebarang kesan.
Pengilat
Kuku
Bahan
ini terdiri daripada pelarut seperti xylena, toluena, aseton, etil asetat,
etanol atau metanol dan plasticizer (seperti butil-asetat, dibutil phthalate,
kamfor) bersama nitroselulosa atau lain-lain resin. Sesetengah daripada
bahan-bahan kimia ini, jika ditelan dengan banyak boleh mengakibatkan rasa
mual, muntah dan mungkin menganggu fungsi otak. Mangsa keracunan perlu
dibawa ke hospital dengan segera sekiranya didapati tertelan pengilat kuku.
Pembersih pengilat kuku pula boleh membahayakan diri. Kesannya adalah sama
sepeti keracunan alkohol.
Barangan
Bedak
Barangan
bedak termasuk bedak debu dan bedak badan. Bedak mengandungi bahan-bahan
seperti talkum, kanji atau kedua-duanya sekali serta dengan karbonat inorganik,
zink stearat, kaolin, pewangi dan mungkin juga pengawet. Secara amnya,
bedak jenis ini dianggap tidak berbahaya. Namun begitu jika dihidu dengan
banyak boleh menyempitkan saluran pernafasan.
Barangan
Kolon
Barangan
kolon serta minyak wangi amnya adalah larutan hidroalkohol yang dicampurkan
dengan sedikit pewangi. Barangan ini mempunyai kandungan alkohol setinggi
50 hingga 90 peratus. Jika ditelan, ia boleh menyebabkan seseorang itu
mengalami rasa mengantuk dan penekanan fungsi otak.
Selain
daripada barangan yang disebutkan di atas, terdapat juga barangan lain
yang biasa digunakan dan disimpan di rumah. Walaupun ia tidak dinyatakan,
ini tidaklah bermakna yang ia langsung tidak merbahaya.
Langkah-langkah
keselamatan Pengguna Kosmetik
-
Baca label
dengan teliti dan ikut arahan yang dicatatkan sebelum menggunakan sebarang
kosmetik, terutama sekali apabila menggunakan barangan antiperspirant,
depilotories, pewarna rambut dan sebagainya.
-
Untuk
mengetahui atau memastikan sama ada anda alah kepada sesuatu kosmetik,
sapukan sedikit barangan tersebut pada bahagian belakang tangan anda. Biarkan
selama 24 jam. Sekiranya anda mendapati sebarang kesan-kesan sampingan
seperti kemerah-merahan, berbintil atau gatal-gatal dan sebagainya, hentikan
penggunaan barangan tersebut.
-
Sekiranya
barangan kosmetik menyebabkan alahan atau kesan sampingan hentikan penggunaannya,
cuci dan bersihkan bahagian-bahagian yang telah disapukan bahan kosmetik
tersebut.
-
Dalam
keadaan kesan kosmetik tidak boleh dibersihkan atau keadaan tidak selesa,
segera berjumpa doktor dengan membawa barangan kosmetik untuk diuji.
-
Jika anda
selalu mengunjungi pusat-pusat kecantikan (salon) dan mengalami kesan sampingan,
pergi semula ke pusat kecantikan tersebut, catat nama barangan kosmetik
yang digunakan dan ambil contohnya sekali.
-
Jangan
sekali-kali biarkan kanak-kanak bermain dengan barangan kosmetik anda.
Kemungkinan kebanyakan alat kosmetik mengandungi bahan-bahan toksik yang
tidak membahayakan orang dewasa tetapi membahayakan pada kanak-kanak. Simpan
di tempat yang tinggi yang tidak boleh dicapai atau dilihat oleh kanak-kanak.
-
Bagi penggunaan
barangan mekap mata, anda harus menggunakan dengan berhati-hati bagi mengelakkan
sentuhan bahan kimia atau kerosakan mekanikal pada mata.
|
| Produk
Kesihatan
Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) amat prihatin terhadap
sikap Kementerian Kesihatan dalam menangani isu penarikan semula produk
kesihatan dan makanan tambahan yang dikeluarkan oleh syarikat Pan Pharmaceutical,
Australia. FOMCA amat berasa kesal kerana pengguna di Malaysia tidak diberikan
maklumat yang secukupnya terhadap keseluruhan isu tersebut. Walaupun pengguna
telah dimaklumkan bahawa mereka akan mendapat semula wang atau digantikan
dengan produk yang lain, namun tidak terdapat satu garis panduan yang jelas
tentang cara ia dilakukan. Ini kerana setiap syarikat mempunyai dasarnya
tersendiri dalam hal mengembalikan semula wang. Adakah ini bermaksud bahawa
setiap produk yang telah dibeli itu layak untuk mendapat bayaran balik?
Bagaimana pula dengan produk yang telah dibuka penutupnya atau telah digunakan
sebahagiannya? Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan keadaan ini, iaitu
orang ramai boleh dan sepatutnya diberikan pampasan daripada kedai, tempat
mereka membeli barangan tersebut, tanpa perlu bersusah payah ke sana ke
mari untuk mendapatkan hak mereka. Dalam hal ini, isu yang paling utama
ialah mengapa Kementerian Kesihatan tidak menubuhkan atau sekurang-kurangnya
mewujudkan badan penasihat bagi menghuraikan akibat yang akan dialami oleh
pengguna sekiranya menggunakan produk yang telah ditarik balik itu. Mengapa
tidak ada sebarang makluman tentang kesan sampingan dan tanda-tanda yang
mungkin wujud daripada penggunaan vitamin dan makanan tambahan ini. Kami
merasakan inilah keutamaan yang perlu diambil oleh pihak Kementerian. Adalah
amat dikesali kerana Kementerian Kesihatan nampaknya tidak begitu mempedulikan
kebajikan pengguna, sama ada dalam bentuk masalah ekonomi mahupun masalah
kesihatan pengguna. Jelaslah di sini bahawa pihak Kementerian Kesihatan
mempunyai masalah kekurangan sistem kawal selia dalam hal ini. Syarikat
Pan Pharmaceutical, yang merupakan syarikat pengeluar ubat utama di Australia,
telah disiasat sejak awal bulan Januari tahun ini. Sebagaimana yang disiarkan
dalam kenyataan akhbar, kerajaan telah menarik balik semula produk yang
dikeluarkan pada 1 Mei 2002 dan jika hal ini berlaku, sepatutnya pihak
kerajaan telah mengambil langkah berwaspada dan memaklumkan kepada orang
ramai. Malah langkah untuk menyebarkan maklumat tentang isu ini begitu
berkurangan sekali. Kami juga mempertikaikan sikap Kementerian yang tidak
melakukan pemeriksaan secara rawak bagi mengenal pasti keberkesanan ubat-ubat
yang dijual di negara ini. Pihak berkuasa nampaknya menerima secara bulat-bulat
surat pengesahan ubat-ubat ini tanpa mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan
sendiri. Pihak kami ingin menegaskan bahawa hal ini tidak boleh diterima
sama sekali. Kementerian Kesihatan perlu telus dalam hal ini. Adalah tidak
wajar sekiranya pengguna menjadi mangsa keadaan yang bukan di bawah kawalan
mereka. Dalam dunia hari ini, ketepatan maklumat amatlah penting dan adalah
tidak boleh diterima sekiranya pihak berkuasa di Malaysia tidak mampu untuk
menyebarkan maklumat kepada orang ramai secara berkesan. Kita perlu ingat
bahawa kehidupan asas manusia adalah bergantung kepada perihal kesihatan
ini. Isu kesihatan dan keselamatan para pengguna bukanlah sesuatu yang
boleh dipermainkan. Kami berharap akan mendapatkan perjelasan lanjut terhadap
isu ini bagi membolehkan kamu menyediakan maklumat yang tepat kepada para
pengguna dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menangani sebarang
akibat daripada keseluruhan isu ini. Kami amat berharap para pengguna yang
mengalami kesan buruk akibat penggunaan ubat-ubatan yang telah ditarik
balik ini agar tampil dan menghubungi FOMCA bagi membantu mereka mendapatkan
gantirugi dari segi undang-undang. |
AWAS!
ADA ALAT PERMAINAN GUGAT KESELAMATAN
-
Pemilihan alat permainan tidak
harus dipandang ringan. Walaupun alat permainan sepatutnya menyeronok dan
menghiburkan, tidak semua dimainkan sebagaimana tujuan alat mainan itu
dicipta.
Kanak-kanak belajar mengendalikan
sesuatu objek dan meneka fungsinya sedari kecil. Ini antara sebab mengapa
keselamatan dan kesesuaian alat permainan itu penting. Pilihan alat permainan
harus sesuai umur kanak-kanak juga tingkat perkembangan dan bakat mereka.
Keadaan fizikal, sosial dan pendidikannya juga harus diambil kira dalam
hal ini.
Kemalangan ketika bermain
alat mainan sering disebabkan tiga punca utama:
-
Penyalahgunaan, seperti apabila
blok kayu dilontarkan kepada seseorang.
-
Tidak sesuai, seperti apabila
set bahan kimia diberikan kepada anak berusia enam tahun atau guli diberikan
kepada anak berusia tiga tahun.
-
Barangan tidak selamat iaitu
mainan kayu yang berselumbar atau anak patung yang pinnya terkeluar.
Dengan mengetahui bagaimana
kemalangan berlaku, ibu bapa boleh membantu mengelak kemalangan dengan
memilih alat permainan yang dapat menjauhkan kanak-kanak daripada ditimpa
kemalangan.
Beg plastik yang selalu ditinggalkan
berselerak di merata rumah dan sering dianggap tidak mendatangkan masalah,
boleh melemaskan kanak-kanak jika mereka menyarungnya pada kepala dan muka.
Ibu bapa harus menilai barang
mainan yang dibeli untuk anak-anak. Alat permainan adalah kemestian dan
kanak-kanak banyak belajar melaluinya tetapi ia tidak perlu menggugat keselamatan
dan kesihatan mereka.
Panduan membeli barang
mainan
-
Alat mainan kecil yang senang
ditelan atau disedut melalui hidung tidak sesuai bayi atau kanak-kanak
prasekolah.
-
Pastikan setiap bahagian alat
mainan dipasang sempurna. Contohnya, tayar kereta mainan atau kapal terbang
dan juga mata anak patung dan butang anak patung yang senang dicabut. Kanak-kanak
gemar memasukkan benda-benda ini ke dalam mulut. Sebarang bahagian tertonjol
harus tumpul dan tidak boleh mencederakan.
-
Alat mainan sepatutnya tidak
boleh pecah meninggalkan kesan tajam atau selumbar. Begitu juga barangan
plastik yang boleh dilentur.
-
Pastikan tiada pin atau dawai
kokot terlekat pada alat mainan terutama anak patung.
-
Permainan stuffed toys harus
menggunakan bahan bahan yang tidak mendatangkan alahan atau alergi. Pastikan
alat permainan tidak menggunaka cat bertoksid.
-
Alat permainan sepatutnya boleh
dicuci untuk memastikan ia tidak terlalu kotor dan mengumpul kuman yang
boleh menyebabkan jangkitan.
-
Berhati-hati dengan alat perhiasan
kanak-kanak yang senang pecah dan mudah ditelan.
Pastikan tali yang diikat
pada alat mainan tidak melebihi 30 sentimeter panjang. Tali yang melebihi
ukuran ini boleh menyebabkan kanak-kanak terbelit leher mereka dengan mudah.
|
Daftar telefon prabayar -- Untuk
keselamatan dan tangani penyebaran fitnah - Kabinet
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kabinet
mengarahkan semua syarikat telekomunikasi di negara ini supaya mendaftar
pengguna telefon bimbit prabayar bagi tujuan keselamatan, selain menangani
masalah penyebaran fitnah.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi,
Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, proses pendaftaran akan dimulakan
bulan depan membabitkan pengguna di Melaka dan Pulau Pinang terlebih dahulu.
Katanya, pendaftaran di negeri-negeri
lain akan dimulakan menjelang hujung tahun ini dan ia akan dikendalikan
sepenuhnya oleh ketiga-tiga syarikat telekomunikasi yang menyediakan khidmat
telefon prabayar iaitu Digi, Maxis dan Celcom.
Beliau memberitahu, Kabinet
membuat keputusan itu pada mesyuarat baru-baru ini yang memberi persetujuan
kepada kementeriannya mewajibkan syarikat telekomunikasi mendaftar pengguna
telefon bimbit prabayar yang baru dan lama.
Pada masa ini terdapat 16
juta pengguna telefon bimbit prabayar dan 14 juta daripadanya tidak berdaftar,
sebahagiannya ialah pekerja asing.
Di Malaysia, selama ini sesiapa
sahaja boleh pergi ke kedai telefon dan membeli kad `subscriber identification
module' (SIM) prabayar pada harga serendah RM18 tanpa perlu mendaftar dengan
penyedia perkhidmatan itu.
Keng Yaik berkata, walaupun
diakui tugas mendaftar pengguna talian prabayar itu tidak mudah, namun
syarikat telekomunikasi perlu akur dengan keputusan ini.
``Ini adalah keputusan Kabinet
yang dibuat atas faktor keselamatan selain mahu mengelakkan perkara negatif
lain terutama penyebaran fitnah dan ugutan,'' katanya.
Beliau yang juga Presiden
Gerakan berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat
Bulanan Jawatankuasa Pusat parti berkenaan, di sini hari ini.
Pada 19 Jun lalu, beliau
memaklumkan Kabinet sedang menimbangkan dengan serius untuk mewajibkan
pendaftaran talian telefon prabayar.
Tahun lepas, ahli-ahli Parlimen
menggesa pendaftaran mandatori kepada pengguna telefon bimbit prabayar
ekoran berlaku penyalahgunaan perkhidmatan itu dengan menghantar pesanan
berbentuk fitnah dan tohmahan.
Negara-negara seperti Thailand,
Filipina dan Taiwan telah mula mendaftar pengguna telefon bimbit prabayar
mereka sejak beberapa bulan lalu.
Kerajaan Thailand pula telah
mengarahkan pendaftaran itu diwajibkan mulai 10 Mei lalu bagi menyekat
para pengganas daripada menggunakan kad SIM prabayar sebagai fius untuk
meletupkan bom.
Di Taiwan, pembeli perlu
menunjukkan dua borang pengenalan diri sebelum dibenarkan membeli kad prabayar
dan pengendali perkhidmatan akan dikenakan tindakan sekiranya rekod yang
disediakan tidak lengkap.
Menurut Keng Yaik, Pulau
Pinang dan Melaka dipilih sebagai percubaan supaya masalah yang timbul
akibat proses pendaftaran itu dapat dikenal pasti sebelum ia diperluaskan
ke seluruh negara.
Tambahnya, sejak bulan lalu
kesemua pengguna talian prabayar yang baru telah dikehendaki mendaftar
terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya.
Bagi pengguna lama, mereka
perlu mendaftar pek SIM masing-masing serta pengenalan diri semasa hendak
mengisi kredit masa perbualan.
Ketika ditanya mengenai tempoh
akhir proses pendaftaran itu, Keng Yaik berkata, setakat ini tiada tempoh
yang ditetapkan tetapi terpulang kepada tempoh selesai semua pendaftaran
tersebut. |
| KESELAMATAN PRODUK
DAN KANAK-KANAK
Kanak-kanak
sebagai satu golongan pengguna sememangnya lebih terdedah kepada berbagai
barangan dan produk. Ini sering berlaku kepada mereka yang berumur lima
tahun ke bawah. Memandangkan usia mereka yang terlalu muda, selalunya golongan
ini kurang cermat atau berwaspada dalam memilih barangan yang sesuai dengan
kehendak masing-masing. Lantaran itu, lebih ramai kanak-kanak terdedah
kepada barang serta produk yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka
dan ini boleh mengancam keselamatan. Kadangkala maut padahnya.
Oleh
yang demikian, tidak hairanlah jika rata-rata perangkaan menunjukkan bahawa
golongan kanak-kanak lebih banyak mengalami keracunan ataupun kecederaan
akibat menggunakan barangan tersebut. Bukan sahaja kerana barangan itu
tidak selamat, tetapi lebih kerap lagi kerana cara penggunaannya juga tidak
selamat. Ini ada kaitan dengan amalan serta tabiat kita seharian apabila
menggunakan barang-barang tersebut. Lazimnya kita cuai dan kurang berhati-hati
sehingga anak-anak kita sendiri sering terdedah kepada bahaya yang tidak
menentu.
Di
antara barangan yang didapati selalu mendatangkan kemudaratan termasuklah
barangan yang tersimpan di rumah seperti bahan-bahan pencuci dan ubat-ubatan.
Barang permainan dan perhiasan juga boleh menjadi sumber bahaya kepada
kanak-kanak, walaupun dalam banyak hal, mutu barangan tersebut terjamin.
Apa lagi jika barangan itu sendiri tidak selamat daripada segi kualiti
dan pembuatannya.
Oleh
itu, demi keselamatan kanak-kanak, satu kesedaran dan kepekaan terhadap
beberapa bahaya berkaitan bahan barangan serta produk yang ada di pasaran
penting dipupuk di kalangan ibubapa/penjaga ataupun kanak-kanak sendiri.
Ini adalah sebaik-baik cara untuk mengatasi dan mencegah daripada berlakunya
perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan masyarakat kita.
Kesedaran
terhadap bahaya ubat-ubatan
Amnya
ramai yang beranggapan bahawa bahan ubat-ubatan adalah selamat belaka.
Maksudnya ramai menjangkakan yang bahan ubat-ubatan tidak akan mendatangkan
sebarang kemudaratan, malah ia pasti berkhasiat belaka. Ini adalah satu
anggapan yang kurang tepat malah boleh menyebabkan banyak keadaan yang
tidak diingini, memandangkan bahawa ubat-ubatan kebanyakannya terdiri daripada
bahan kimia. Dan jika tidak digunakan dengan betul, seperti memakan ubat
berlebihan, ataupun tidak mengikut aturan yang telah ditetap, banyak kesan
bahaya boleh berlaku. Ubat boleh membahayakan apabila penggunaannya ditukar
ganti kepada sesiapa sahaja, walaupun ubat itu adalah kepunyaan orang lain.
Tabiat menggunakan ubat seperti ini amat bersalahan dengan tatacara penggunakan
ubat.
Berikut
adalah beberapa cara untuk menggelakkan berlakunya bahaya berkaitan dengan
ubat-ubatan, khususnya bagi kanak-kanak.
-
Simpan
semua ubat berjauhan daripada jangkauan kanak-kanak. Ubat-ubatan seelok-eloknya
disimpan dalam almari yang berkunci.
-
Jangan
letak ubat merata-rata terutama jika tidak dalam bekas yang sempurna.
-
Simpan
ubat-ubatan di satu tempat seperti dalam peti sejuk jika perlu, (jangan
bekukan) untuk mengelakkan kekeliruan.
-
Gunakan
bekas plastik untuk memudahkan simpanan. Tutup bekas plastik ini jika ianya
diletakkan
ditempat yang boleh ditemui oleh kanak-kanak.
-
Sekiranya
menghantar kanak-kanak ke tempat asuhan, bawa ubat bersama dalam bekas
yang tersimpan dalam beg pakaian dan sebagainya. Jangan masukkan bersama
bekas atau beg makanan. Beri ubat itu terus kepada pengasuh secara persendirian.
-
Jangan
biarkan kanak-kanak bersama ubat-ubatan (termasuk vitamin) tanpa kawalan.
-
Pulangkan
ubat yang tidak digunakan lagi kepada penjaga/ibubapa apabila tamat masa
asuhan.
-
Buang
semua ubat yang telah habis tempohnya. Jangan simpan ubat yang tidak berguna
lagi. Jangan ulangi penggunaan sewenang-wenangnya.
Daripada
segi keselamatan produk, para pengguna mesti berwaspada dengan ubat-ubatan
tiruan ataupun ubat yang tidak bermutu. Acapkali kita terbaca dalam akhbar
bahawa ramai penduduk luar bandar misalnya disogokkan dengan ubat yang
tidak bermutu ini. Ubat-ubatan ini selalunya dijual secara lansung dan
semasa menjual berbagai "kebaikan" disebutkan oleh para penjual kononnya
disokongkan dengan kajian.
Dalam
hal ini kita harus berwaspada kerana apa juga yang disebut oleh juru jual
perlu mendapatkan pengesahan daripada badan-badan bertanggungjawab terlebih
dahulu supaya mutu dan keselamatan terjamin. Bagi ubat-ubatan satu nombor
pendaftaran akan diberikan kepada pihak pembuat atau pengilang sebelum
ianya boleh dijual dan dipasarkan. Nombor ini selalunya bermula dengan
huruf "PBKD" (bermaksud Pihak Berkuasa Kawalan Drug, yakni badan yang berwibawa
dalam hal ini) dan di ikuti dengan beberapa nombor khas bagi produk itu
saja. Kadangkala ia bermula dengan huruf "MAL" (bermaksud Malaysia, iaitu
ia berdaftar di negara ini). Ini membuktikan bahawa ubat-ubatan tersebut
telah mendapat pengesahan daripada kerajaan dan diakui mutu dan keselamatannya.
Tanpa pendaftaran, semua ubat perlu dielakkan, bahkan perlu dilaporkan
kepada pihak Kerajaan. Kalau was-was dapatkan pengesahan daripada pihak
berwajib terlebih dahulu ataupun hubungi Pusat Racun Negara.
Amalkan
tabiat bertanya seperti nama ubat, kekuatan dosnya serta juga nama pengilang
atau pengedarnya apabila anda menerima atau membeli ubat. Selain daripada
itu tentukan juga apa-apa maklumat khas diperolehi juga. Antaranya adalah
seperti kegunaan semasa hamil, atau menyusukan bayi ataupun kesan-kesan
sampingan lain. Maklumat seperti ini amat diperlukan semasa kecemasan dan
keracunan. Ini boleh membantu menyegerakan rawatan.
Kesedaran
terhadap bahaya bahan-bahan pencuci rumahtangga
Seperti
ubat-ubatan, kebanyakan rumah ada menyimpan bahan-bahan pencuci, khususnya
di kamar-kamar mandi, dapur ataupun setor. Seperti juga ubat-ubatan, ramai
yang agak cuai apabila menggunakan bahan tersebut sehingga banyak antaranya
terbiar begitu saja - mudah dicapai kanak-kanak. Malah ada yang tersimpan
di lantai atau kamar yang tidak berkunci. Kelazimannya, ramai yang beranggapan
bahan-bahan ini tidak mendatang bahaya, apalagi setelah digunakan saban
hari tanpa banyak keranah. Namun pada hakikatnya bahan-bahan ini tetap
merbahaya malah boleh mendatangkan maut.
Contoh-contoh
yang dapat diberikan adalah seperti dalam jadual berikut:
Jadual
Menunjukkan Bahaya Bahan-bahan Pencuci
| Bahan |
Kesan-kesan
tertentu |
| Soda
untuk masak (sodium bikarbonat) |
Mata:
rengsa,
kemerahan, nyeri
Tertelan:
radang
tekak, sakit perut
Catatan
Tambahan
Boleh bertindakbalas dengan asid |
| Soda
untuk basuh (sodium karbonat) |
Mata:
melecur,
penglihatan kabur
Kulit:
kemerahan,
rengsa
Tertelan:
radang
tekak, sakit perut
Catatan
Tambahan
Boleh bertindakbalas dengan asid |
| Cecair
ammonia (10%) |
Mata:
rengsa,
bengkak, rabun
Kulit:
melecur,
nyeri
Terhidu:
batuk,
sakit dada, radang tekak dan hidung
Tertelan:
rasa
terbakar pada mulut, tekak dan perut, muntah
Catatan
Tambahan
Boleh bertindakbalas dengan asid
Jangan campur dengan bahan peluntur |
| Bahan
peluntur jenis klorin |
Mata:
melecur,
penglihatan kabur
Kulit:
kemerahan,
nyeri, kering, pecah-pecah
Terhidu:
radang
tekak, batuk, sukar bernafas
Tertelan:
radang
tekak, muntah, melecur
Catatan
Tambahan
Boleh bertindakbalas dengan asid atau haba |
| Cuka
(5% asid asetik) |
Mata:
rengsa
Kulit:
rengsa
agak ringan
Catatan
Tambahan
Boleh bentindakbalas dengan logam |
| Boraks |
Mata:
rengsa,
kemerahan, nyeri
Kulit:
rengsa,
ruam, pecah-pecah
Terhidu:
batuk,
hidung berdarah
Tertelan:
mual,
muntah, pening, rosak buah pinggang |
Oleh
yang demikian, bahan-bahan seumpama ini penting disimpan jauh daripada
jangkauan kanak-kanak, di atas para-para misalnya ataupun di tempat berkunci.
Tentukan juga setiap bahan tersebut tersimpan dalam bekas asalnya yang
berkeadaan bersih dan sempurna, tertutup ketat. Pastikan juga anda ketahui
nama atau jenis bahan pencuci tersebut kerana apabila berlaku sesuatu yang
tidak diingini maklumat seumpama ini dapat membantu menyegerakan rawatan. |
|